Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan,Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah,Yang mengajar (manusia) dengan perantaran kalam,Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya. Ketahuilah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas,kerana dia melihat dirinya serba cukup. Sesungguhnya hanya kepada Tuhanmulah kembali(mu).

Rabu, 6 April 2011

Perang Siffin & Peristiwa Tahkim




Perang Siffin

Termasuk sejarah versi Syi`ah adalah Perang Siffin merupakan pemberontakan yang diketuai oleh Muawiyah bin Abi Sufyan ke atas Ali bin Abi Thalib. Sekali lagi hal ini perlu diteliti semula, benarkah Muawiyah bin Abi Sufyan radhiallahu ‘anh memimpin kaum pemberontak ke atas Amirul Mukminin Ali bin Abi Thalib radhiallahu ‘anh?


Sebelum menjawab persoalan ini, ingin saya jelaskan terlebih dahulu keutamaan Muawiyah. Ini kerana sejak dari bangku sekolah, kebanyakan di kalangan kita mengenali beliau sebagai seorang sahabat yang zalim, pendusta dan pelbagai lagi sifat yang negatif. Pengenalan bentuk negatif ini begitu meluas sehingga jarang-jarang kita menemui ibubapa yang menamakan anaknya “Muawiyah” berbanding dengan nama para sahabat yang lain.

Keutamaan Muawiyah bin Abi Sufyan

Muawiyah bin Abi Sufyan adalah salah seorang sahabat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang mulia. Beliau dilahirkan 15 tahun sebelum peristiwa hijrah. Mengikut pendapat yang lebih tepat, beliau memeluk Islam selepas Perjanjian Hudaibiyah, iaitu antara tahun 6 hingga 8 hijrah. [Maulana M. Asri Yusoff – Sayyidina Mu’awiyah: Khalifah Rashid Yang Teraniaya (Pustaka Bisyaarah, Kubang Kerian, 2004), ms. 9-10].

Dalam sebuah hadis yang dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani rahimahullah, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah mendoakan Muawiyah: “Ya Allah! Jadikanlah beliau orang yang memimpin kepada hidayah dan berikanlah kepada beliau hidayah.” [Silsilah al-Ahadits al-Shahihah (Maktabah al-Ma`arif, Riyadh, 1995), hadis no: 1969]

Al-Imam al-Bukhari meriwayatkan di dalam kitab Shahihnya – hadis no: 2924 bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Pasukan pertama daripada kalangan umatku yang berperang di laut, telah dipastikan bagi mereka (tempat di syurga).” Fakta sejarah mencatitkan bahawa armada laut yang pertama bagi umat Islam dipimpin oleh Muawiyah pada zaman pemerintahan Amirul Mukminin Usman ibn Affan radhiallahu ‘anh.

Di dalam Shahih Muslim – hadis no: 2501, Abu Sufyan pernah meminta kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam agar Muawiyah menjadi jurutulis baginda. Rasulullah memperkenankan permintaan ini. Sejak itu Muawiyah menjadi jurutulis al-Qur’an dan surat-surat Rasulullah, sekali gus menjadi orang yang dipercayai di sisi baginda.

Muawiyah juga merupakan seorang sahabat yang dihormati oleh para sahabat yang lain. Beliau diangkat menjadi gabenor di Syam semasa zaman pemerintahan Amirul Mukminin Umar dan Usman. Pada zaman pemerintahan beliau sendiri, pernah seorang mengadu kepada Ibn Abbas radhiallahu ‘anh bahawa Muawiyah melaksanakan solat witir dengan hanya satu rakaat. Ibn Abbas menjawab: “(Biarkan), sesungguhnya dia seorang yang faqih (faham agama).” [Shahih al-Bukhari – hadis no: 3765]

Demikianlah beberapa keutamaan Muawiyah yang sempat dinyatakan dalam tulisan ini. Dapat dikenali bahawa beliau bukanlah sebarangan orang tetapi merupakan salah seorang sahabat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang mulia.

Pendirian Muawiyah tentang kekhalifahan Ali

Apabila Amirul Mukminin Usman ibn Affan radhiallahu ‘anh dibunuh, Ali bin Abi Thalib diangkat menjadi khalifah. Beliau dibai`ah oleh sebahagian umat Islam. Wujud sebahagian lain yang tidak membai`ah beliau, di antaranya ialah Muawiyah. Hal ini berlaku bukan kerana Muawiyah menafikan jawatan khalifah daripada Ali, akan tetapi Muawiyah mengkehendaki Ali terlebih dahulu menjatuhkan hukuman hudud ke atas para pembunuh Usman.

Al-Imam Ibn Hazm rahimahullah menerangkan hakikat ini:

“Dan tidaklah Muawiyah mengingkari sedikit jua akan keutamaan Ali dan hak beliau untuk menjadi khalifah. Akan tetapi pada ijtihad beliau, perlu didahulukan penangkapan ke atas para pembakar api fitnah daripada kalangan para pembunuh Usman radhiallahu ‘anh daripada urusan bai`ah. Dan beliau juga berpendapat dirinya paling berhak untuk menuntut darah Usman.” [al-Fishal, jld. 3, ms. 85]

Di sisi Amirul Mukminin Ali bin Abi Thalib, beliau bukan sengaja membiarkan para pembunuh Usman berkeliaran secara bebas. Malah beliau mengetahui bahawa mereka itu menyamar diri dan berselindung di kalangan umat Islam serta berpura-pura membai`ah beliau. Akan tetapi dalam suasana umat Islam yang masih berpecah belah, adalah sukar untuk beliau mengambil apa-apa tindakan. Sebaliknya jika umat Islam bersatu, mudah baginya untuk mengambil tindakan ke atas para pembunuh Usman.

Berlakunya Perang Siffin

Setelah Perang Jamal berakhir, Amirul Mukminin Ali bin Abi Thalib menghantar utusan kepada Muawiyah meminta beliau berbai`ah kepada dirinya. Muawiyah menolak, sebaliknya mengulangi tuntutannya agar Amirul Mukminin Ali mengambil tindakan ke atas para pembunuh Usman. Jika tidak, Muawiyah sendiri yang akan mengambil tindakan. Mendengar jawapan yang sedemikian, Amirul Mukminin Ali menyiapkan pasukannya dan mula bergerak ke arah Syam. Senario ini menyebabkan Muawiyah juga mempersiapkan pasukannya dan mula bergerak ke arah Kufah. Akhirnya kedua-dua pasukan ini bertemu di satu tempat yang bernama Siffin dan bermulalah peperangan yang dikenali dengan Perang Siffin.

Para pengkaji berbeza pendapat, kenapakah Amirul Mukminin Ali mempersiapkan pasukannya ke arah Syam? Persoalan ini masih memerlukan penelitian yang mendalam dengan mengambil kira faktor-faktor luaran dan dalaman yang wujud pada ketika itu. Amirul Mukminin Ali tidak akan mengambil apa-apa tindakan melainkan ia adalah untuk kemaslahatan umat Islam seluruhnya. Hal ini mengingatkan sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang meramalkan berlakunya Perang Siffin:

“Tidak akan datang Hari Kiamat sehingga dua kumpulan yang besar saling berperang. Berlaku antara kedua-duanya pembunuhan yang dahsyat padahal seruan kedua-dua kumpulan tersebut adalah satu (yakni kebaikan Islam dan umatnya).” [Shahih Muslim – hadis no: 157]

Muawiyah memberontak kepada Ali?

Kini penelitian kita sampai kepada persoalan: Benarkah Muawiyah memimpin pemberontakan ke atas Amirul Mukminin Ali? Jawapannya tidak. Ini kerana jika dikatakan seseorang itu memberontak kepada pemimpinnya, nescaya pemberontak itulah yang bergerak ke arah pemimpin. Akan tetapi dalam kes Muawiyah, beliau tidak bergerak ke arah Amirul Mukminin Ali. Sekalipun Muawiyah enggan membai`ah Ali, beliau hanya berdiam diri di Syam tanpa memulakan apa-apa tindakan ketenteraan.

Syaikh Muhib al-Din al-Khatib rahimahullah (1389H) menjelaskan:

“Lalu Ali berangkat meninggalkan Kufah dan menuju di permulaan jalan yang menuju ke arah Syam dari Iraq. Ali mengisyaratkan supaya orang ramai tetap tinggal di Kufah dan mengirimkan yang selainnya ke Syam. Sampai berita kepada Muawiyah bahawa Ali telah mempersiapkan pasukannya dan Ali sendiri keluar untuk memerangi beliau. Maka para pembesar Syam mengisyaratkan kepada Muawiyah agar dia sendiri turut keluar (untuk berhadapan dengan pasukan Ali). Maka orang-orang Syam berangkat menuju ke Sungai Furat melalui Siffin dan Ali maju bersama pasukannya menuju Siffin juga.

Seandainya Ali tidak mempersiapkan pasukan yang bergerak dari Kufah nescaya Muawiyah tidak akan bergerak (dari Syam).” [catitan notakaki kepada al-`Awashim min al-Qawashim, ms. 166 & 168 ]

Dalam persoalan ini terdapat sebuah hadis yang lazim dijadikan alasan melabel Muawiyah sebagai pemberontak. Hadis tersebut diriwayatkan oleh al-Imam Muslim di dalam kitab Shahihnya – hadis no: 2916 di mana Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada `Ammar bin Yasir radhiallahu ‘anh:

“Engkau akan dibunuh oleh kelompok pemberontak.”

Di dalam Perang Siffin, `Ammar berada di dalam pasukan Amirul Mukminin Ali dan beliau terbunuh dalam peperangan tersebut. Lalu Muawiyah dilabel sebagai pemberontak kerana pasukan beliaulah yang memerangi Ali sehingga menyebabkan `Ammar terbunuh.

Sebenarnya tidak tepat menggunakan hadis di atas untuk melabel Muawiyah sebagai pemberontak. Sebabnya:

1. Sejak awal para sahabat mengetahui bahawa `Ammar bin Yasir berada di dalam pasukan Amirul Mukminin Ali. Dengan itu, sesiapa yang memerangi pasukan Ali, nescaya mereka adalah para pemberontak. Akan tetapi fakta sejarah mencatitkan bahawa ramai sahabat yang mengecualikan diri daripada Perang Siffin. Jika mereka memandang pasukan Muawiyah sebagai pemberontak, nescaya mereka tidak akan mengecualikan diri, malah tanpa lengah akan menyertai pasukan Ali. Sikap mereka yang mengecualikan diri menunjukkan mereka tidak memandang pasukan Muawiyah sebagai pihak yang memberontak. Perlu ditambah bahawa hadis yang meramalkan pembunuhan `Ammar bin Yasir oleh kelompok pembangkang adalah hadis mutawatir yang diriwayatkan oleh lebih daripada 20 orang sahabat. [Rujuk Qathf al-Azhar al-Mutanatsirah fi al-Akhbar al-Mutawatirah oleh al-Imam al-Suyuthi (911H) (al-Maktab al-Islami, Beirut, 1985), hadis no: 104]

2. Amirul Mukminin Ali juga mengetahui bahawa `Ammar bin Yasir berada dalam pasukannya. Akan tetapi Ali mengakhiri Perang Siffin melalui perdamaian yang disebut sebagai peristiwa Tahkim. Seandainya Ali memandang Muawiyah sebagai pemberontak, nescaya beliau tidak akan
melakukan apa-apa usaha perdamaian dengannya.

3. Apabila terbunuhnya Amirul Mukminin Ali, jawatan khalifah diserahkan kepada anaknya, Hasan bin Ali radhiallahu ‘anh. Tidak berapa lama selepas itu, Hasan menyerahkan jawatan khalifah kepada Muawiyah. Padahal Hasan juga mengetahui bahawa `Ammar bin Yasir telah terbunuh dalam Perang Siffin. Jika Hasan memandang Muawiyah sebagai pemberontak, nescaya beliau tidak akan menyerahkan jawatan khalifah kepada Muawiyah. Namun Hasan tetap menyerahkannya, menunjukkan beliau tidak memandang Muawiyah sebagai pemberontak.

Semua ini membawa kepada persoalan seterusnya, siapakah yang sebenarnya dimaksudkan sebagai “kelompok pemberontak”? Kelompok pemberontak tersebut bukanlah pasukan Muawiyah mahupun pasukan Amirul Mukminin Ali, akan tetapi adalah orang-orang yang pada asalnya menyebabkan berlakunya peperangan antara Muawiyah dan Ali. Mereka adalah kelompok pemberontak yang asalnya memberontak kepada Amirul Mukminin Usman ibn Affan sehingga akhirnya membunuh beliau. Diingatkan bahawa sekalipun pada zahirnya peperangan kelihatan berlaku di antara para sahabat, faktor yang menggerakkannya ialah para pemberontak yang asalnya terlibat dalam pembunuhan Usman.

Syaikh Mubih al-Din al-Khatib rahimahullah menjelaskan hakikat ini:

“Sesungguhnya orang yang membunuh orang Islam dengan tangan kaum Muslimin setelah terjadinya pembunuhan Usman, maka dosanya berada di atas para pembunuh Usman kerana mereka adalah pembuka pintu fitnah dan mereka yang menyalakan apinya dan mereka yang menipu sebahagian hati kaum muslimin dengan sebahagian yang lain. Maka sebagaimana mereka membunuh Usman maka mereka juga membunuh setiap orang yang mati selepas Usman, di antaranya seperti `Ammar dan orang yang lebih utama daripada `Ammar iaitu Thalhah dan al-Zubair, sehinggalah berakhirnya fitnah dengan terbunuhnya Ali.

Segala sesuatu yang terjadi kerana fitnah maka yang menanggungnya adalah orang yang menyalakan apinya kerana merekalah penyebab yang pertama. Mereka itulah “kelompok pembangkang” yang membunuh, yang menyebabkan setiap pembunuhan dalam Perang Jamal dan Perang Siffin dan perpecahan yang berlaku selepas kedua-dua perang tersebut.” [catitan notakaki kepada al-`Awashim min al-Qawashim, ms. 173]

Kebenaran tetap bersama pemimpin

Sekalipun dikatakan bahawa Muawiyah bukan pemberontak, tidaklah bererti Muawiyah berada di pihak yang benar. Di dalam Islam, apabila wujud perbezaan pendapat antara pemimpin dan selain pemimpin, maka kebenaran terletak bersama pemimpin. Hendaklah mereka yang menyelisihi pemimpin tetap bersama pemimpin dan berbincang dengan beliau terhadap apa yang diperselisihkan. Di dalam peristiwa yang membawa kepada Perang Siffin, pemimpin saat itu ialah Amirul Mukminin Ali. Maka sikap yang lebih tepat bagi Muawiyah ialah tidak meletakkan syarat untuk membai`ah Ali, sebaliknya terus membai`ah beliau dan kemudian berbincang dengan beliau tentang cara terbaik untuk mengambil tindakan ke atas para pembunuh Amirul Mukminin Usman.

Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah menegaskan:

“Dan Muawiyah bukanlah daripada kalangan mereka yang memilih untuk memulakan perang, bahkan beliau daripada kalangan yang paling mengkehendaki agar tidak berlaku perang. Yang benar adalah tidak berlakunya peperangan. Meninggalkan peperangan adalah lebih baik bagi kedua-dua pihak. Tidaklah dalam peperangan tersebut (Perang Siffin, wujud satu) pihak yang benar. Akan tetapi Ali lebih mendekati kebenaran berbanding Muawiyah. Peperangan adalah peperangan kerana fitnah, tidak ada yang wajib dan tidak ada yang sunat dan meninggalkan perang adalah lebih baik bagi kedua-dua pihak. Hanya sahaja Ali adalah lebih benar. Dan ini merupakan pendapat (al-Imam) Ahmad dan kebanyakan ahli hadis dan kebanyakan para imam fiqh dan ini juga merupakan pendapat para tokoh sahabat dan tabi’in yang selalu mendapat kebaikan.” [Minhaj al-Sunnah, jld. 4, ms. 447-448]

Allahu a’lam bisshawab.

- Pendirian Muawiyah Di Sebalik Perang Siffin, Hafiz Firdaus Abdullah


Peristiwa Tahkim


Oleh Muhammad Malullah

www.darulkautsar.net

Prakata: Peristiwa Tahkim mengikut sejarah yang kita pelajari ialah berlaku perebutan kuasa antara Ali dan Mu`awiyah yang membawa mereka ke meja perundingan. Perundingan antara mereka berdua telah diwakili oleh Abu Musa al-`Asyari bagi pihak Ali dan `Amr bin al-`Ash bagi pihak Mua`wiyah. Kedua-dua perunding telah bersetuju untuk memecat Ali dan Mua`wiyah. Menurut sejarah lagi, `Amr bin al-`Ash dengan kelicikannya berjaya memperdayakan Abu Musa yang digambarkan sebagai seorang yang lalai dan mudah tertipu.. Akibatnya, Ali terlepas dari jawatan khalifah. Tulisan Shaikh Muhammad Malullah ini akan mendedahkan kebatilan riwayat Tahkim.

Oleh kerana peristiwa Tahkim sangat penting dalam sejarah politik negara Islam, adalah perlu untuk kita menyingkap hakikat sebenar babak-babaknya di mana peristiwa ini telah disalahtanggapi dan telah disalahtafsirkan. Akibatnya timbul kesan buruk iaitu menjatuhkan kedudukan dan martabat para sahabat. Peristiwa Tahkim yang tersebar itu telah menjadikan sebahagian sahabat sebagai penipu dan orang yang mudah terpedaya dan sebahagian yang lain dituduh sebagai perakus kuasa.

Dengan meletakkan riwayat Tahkim di atas neraca kajian dan penilaian, dua perkara dapat diamati, pertama kelemahan pada sanad dan kedua, kegoncangan pada matan atau teks. Dari sudut sanad terdapat dua perawi yang ditohmah keadilannya iaitu Abu Mikhnaf Lut bin Yahya dan Abu Janab al-Kalbi. Abu Mikhnaf seorang yang dhai`if dan tidak thiqah sementara al-Kalbi, menurut Ibn Sa`ad, dia seorang yang dha`if. Al-Bukhari dan Abu Hatim berkta: Yahya bin al-Qattan mendha`ifkannya. Uthman al-Darimi dan al-Nasa’i mengatakan dia dha`if.

Ada tiga perkara yang dikesani pada matannya. Pertama, berkaitan dengan perselisihan antara Ali dan Mu`awiyah yang menjadi punca kepada peperangan antara mereka berdua. Kedua, persoalan jawatan Ali dan Mu`awiyah. Ketiga, keperibadian Abu Musa al-`Asy`ari dan `Amr bin al-`Ash.

Perselisihan antara Ali dan Mu`awiyah

Adalah diakui dan disepakati oleh semua ahli sejarah bahawa sebab pertelingkahan antara Ali dan Mu`awiyah ialah tentang tindakan qisas terhadap pembunuh-pembunuh Uthman. Pada anggapan Mu`awiyah, Ali telah mencuaikan tanggungjawabnya melaksanakan hukuman qisas ke atas pembunuh-pembunuh Uthman. Dengan itu, beliau enggan untuk membai`ah Ali dan taat kepadanya kerana beliau berpendapat hukum qisas perlu ditegakkan sebelum khalifah dibai`ahkan. Pada masa yang sama beliau merupakan wali darah kerana kekeluargaannya dengan Uthman.

Sikap keengganan Mu`awiyah untuk membai`ah Ali kerana menunggu qisas dijalankan dan kegagalan beliau melaksanakan urusannya di Syam telah menjadikan Mu`awiyah dan para pengikutnya dari kalangan penduduk Syam pada pandangan Ali seperti sikap orang-orang yang menentang khalifah. Ali berpendapat bahawa bai`ahnya telahpun sah dengan persetujuan para sahabat Muhajirin dan Ansar yang telah menghadiri upacara bai`ah. Dengan itu, bai`ah tersebut mengikat orang-orang Islam yang berada di tempat yang lain. Oleh hal yang demikian, Ali menganggap Mu`awiyah dan penduduk Syam bersama beliau sebagai penderhaka yang mahu memberontak sedangkan Ali adalah imam sejak dibai`ahkan sebagai khalifah dan beliau memutuskan untuk menundukkan dan mengembalikan mereka ke dalam jamaah walaupun dengan cara kekerasan.

Memahami pertelingkahan mengikut gambaran ini, iaitu gambarannya yang sebenar akan menjelaskan sejauh mana kesilapan riwayat yang tersebar tentang peristiwa Tahkim yang menggambarkan pendapat dua orang perunding. Kedua-dua perunding itu dilantik untuk menyelesaikan perselisihan antara Ali dan Mu`awiyah bukan untuk menentukan siapakah yang lebih layak untuk jawatan khalifah. Sebenarnya perbicaraan itu berkenaan dengan menjatuhkan hukuman ke atas pembunuh-pembunuh Uthman, sedikitpun tidak berkait dengan urusan khilafah. Apabila dua orang perunding itu mengabaikan dan meninggalkan persoalan asas ini iaitu maksud diadakan Tahkim dan mereka memutuskan persoalan khalifah sebagaimana yang didakwa oleh riwayat tersebut, bererti mereka berdua tidak memahami tajuk pertelingkahan dan tidak mengetahui persoalan dakwaan dan ini satu perkara yang hampir mustahil.

Jawatan Ali dan Mu`awiyah

Mu`awiyah telah ditugaskan untuk mentadbir Syam sebagai wakil bagi pihak Umar bin al-Khattab dan Syam terus berada di bawah pentadbirannya sehingga Umar meninggal dunia. Kemudian Uthman menjadi khalifah dan beliau mengekalkan jawatan Mu`awiyah. Apabila Uthman dibunuh dan Ali menjadi khalifah, beliau tidak mengekalkan jawatan Mu`awiyah di mana jawatan tersebut terlucut dengan sebab berakhirnya pemerintahan khalifah yang telah melantiknya.

Dengan itu, Mu`awiyah telah kehilangan pusat kekuasannya dan jawatannya sebagai gabenor Syam walaupun sebenarnya beliau masih lagi mempunyai kuasa dengan sebab penduduk Syam menyokong beliau dan mereka berpuas hati dan bersetuju dengan alasan Mu`awiyah yang tidak mahu memberi bai`ah kepada Ali. Sebabnya ialah tuntutan perlaksaan hukum qisas terhadap pembunuh-pembunuh Uthman berdasarkan haknya sebagai penuntut bela kematian Uthman.

Apabila keadaan sebenarnya begitu, keputusan perunding itu menurut riwayat tersebut memberi maksud memecat Ali dan Mu`awiyah. Pemecatan Mu`awiyah itu berlaku bukan pada tempatnya kerana jika kita mengandaikan dua orang perunding itu mengendalikan pertelingkahan Ali dan Mu`awiyah kemudian memecat Ali dari jawatan khalifah. Persoalannya dari jawatan apa, mereka berdua memecat Mu`awiyah? Adakah mereka berdua boleh memecat Mu`awiyah dari hubungan kekeluargaan dengan Uthman atau menghalangnya dari menuntut bela kematian Uthman? Adakah pernah terjadi di dalam sejarah seorang pemberontak dilucutkan dari kepimpinannya dengan sebab resolusi yang diputuskan oleh dua orang hakim? Tidak diragukan lagi ini merupakan satu faktor lain yang menyokong tentang karutnya riwayat Tahkim yang tersebar umum itu.

Keperibadian Abu Musa dan `Amar bin al-`Ash

Tanggapan tentang Abu Musa menjadi mangsa tipu daya `Amr bin al-`Ash dalam peristiwa Tahkim menafikan fakta-fakta sejarah mengenai keutamaan, kepintaran, kefaqihan dan kepercayaannya, lebih-lebih lagi menafikan perlantikannya sebagai hakim dan qadhi di dalam Negara Islam sejak zaman Rasulullah s.a.w. Baginda telah melantik beliau sebagai gabenor Zabid dan `Adn. Umar pula melantiknya sebagai gabenor Basrah sehinggalah beliau mati syahid. Seterusnya Uthman mengekalkannya sebagai gabenor Basrah, kemudian menjadi gabenor Kufah sehinggalah beliau mati syahid dan Ali mengekalkan jawatannya itu. Adakah dapat dibayangkan Rasulullah s.a.w. dan para khalifah sesudah baginda mempercayai seorang sahabat yang mudah diperdayakan dengan tipu helah seperti yang diriwayatkan oleh cerita Tahkim itu?

Sedangkan para sahabat dan ramai dari kalangan ulama Tabi`in mengakui kemantapan beliau di dalam ilmu, kemampuan dalam kehakiman, kepintaran dan kecerdasan dalam pengadilan. Bagaimana mungkin digambarkan kecuaian dan kelalaiannya sampai ke tahap ini? Seolah-olah beliau tidak memahami hakikat sebenar pertelingkah yang beliau menjadi perundingnya lalu mengeluarkan keputusan yang tidak munasabah dengan keperibadiannya. Iaitu keputusan melucutkan jawatan khalifah tanpa alasan yang mengikut syara`dan keputusan pemecatan Mu`awiyah yang didakwa sebagai khalifah itu serta peristiwa maki hamun dan caci mencaci yang berlakukan antara Abu Musa dan `Amr bin al-`Ash. Ini adalah suatu perkara yang sama sekali bertentangan akhlak mulia dan adab bertutur para sahabat yang diketahui secara mutawatir.

Apabila ilmu dan pengalaman Abu Musa dalam kehakiman dapat menghalangnya dari tersilap membuat keputusan dalam kes yang diserahkan kepadanya begitu juga keadaan `Amar bin al-`Ash yang diakui sebagai salah seorang cerdik pandai Arab. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah memerintahkan beliau supaya menghakimi perbalahan dua orang lelaki di hadapan baginda. Rasulullah s.a.w. memberi berita gembira kepada beliau ketika beliau bertanya: Wahai Rasulullah adakah saya mengadili sedangkan engkau ada. Baginda bersabda: Apabila seseorang hakim itu mengadili kes dengan berijtihad maka dia akan mendapat dua pahala jika benar dan apabila dia menghukum dengan berijtihad lalu tersilap maka dia akan mendapat satu pahala.

Menerima riwayat Tahkim bererti menghukumkan `Amar bin al-`Ash sebagai seorang yang tunduk pada hawa nafsu dalam menjalankan tugas-tugasnya dan ini adalah satu serangan bukan sahaja terhadap kepintaran dan kemahirannya tetapi terhadapan kewarakan dan ketakwaannya. Sedangkan beliau merupakan sahabat yang termulia dan paling utama serta kelebihannya sangat banyak. Di dalam fatwanya, Ibn Taymiyyah menyebutkan tidak ada seorangpun dari kalangan salaf yang mengkritik `Amr bin al-`Ash dengan nifaq atau tipu helah. Dengan ini, berdasarkan kepada necara kritikan objektif terhadap teks-teks sejarah, jelaslah apa yang dikemukakan dalam tulisan ini tentang pembohongan dalam riwayat peristiwa Tahkim yang tersebar umum itu.

Terjemahan oleh Ustaz Muhammad Hanief bin Awang Yahya untuk www.darulkautsar.net

2 ulasan:

Senyumlah Selapangnya berkata...

Salam 'alaik

Syukran atas sharingnya, alhmdulillah, menjumpai matlumatnya yang dicari.Allah yubarik fiik

Tanpa Nama berkata...

syukran..info y sgt menarik ttg sejarah islam