Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan,Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah,Yang mengajar (manusia) dengan perantaran kalam,Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya. Ketahuilah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas,kerana dia melihat dirinya serba cukup. Sesungguhnya hanya kepada Tuhanmulah kembali(mu).

Rabu, 6 Julai 2011

Keanjalan siasah syar’iyyah dan kesediaannya untuk berkembang



Keanjalan siasah syar’iyyah dan kesediaannya untuk berkembang

Ibnul Qayyim berkata lagi,

” Maksud di sini adalah bahawa contoh–contoh di atas (rujuk siri sebelum ini) adalah merupakan siasah juz’ie/khas yang berdasarkan maslahat/kepentingan. Ia berubah dengan berubahnya masa. Sesetengah ulama menganggapnya sebagai syariat umum (bukan juz’ie) yang lazim/mesti ke atas umat sehinggalah hari qiamat. Masing–masing memiliki keuzuran (ketika berijtihad) dan ganjaran. Barang siapa berijtihad demi mentaati Allah dan rasulNya, maka dia sedang berlegar di antara satu atau dua pahala.”



” Hukum–hukum politik tadi dan banyak lagi sebenarnya adalah ta’wil/tafsir kepada Al Quran dan Sunnah. Cuma khilafnya adalah pada menentukan samada ia adalah syariat umum yang tidak akan berubah dengan perubahan zaman ataupun ia adalah siasah juz’iyyah yang berdasarkan maslahat yang mungkin saja berubah berdasarkan perubahan zaman dan tempat.”
Tamat

Tidak syak lagi contoh–contoh di atas adalah siasah juz’iyyah yang merujuk kepada tuntutan semasa. Apabila masa berubah atau tempat bertukar atau keadaan berkembang, maka hukum lama mestilah dinilai balik dalam situasi baru. Ia mungkin saja berubah. Tidak harus kekal jumud di atas hukum lama yang mungkin memudaratkan ummah.

Hakikatnya manusia berupaya mengubah hukum apabila cukup di hadapannya ilmu dan kehendak, apatah di zaman kini yang penuh kekuasaan dan keupayaan.

Jelas apa yang ditegaskan Ibnul Qayyim (mazhab Hambali) berkenaan denda dengan harta dalam hukum takzir adalah bertentangan dengan pendapat mazhab lain. Tetapi bersandarkan dalil–dalil yang dikemukakan, jelas ialah yang rajih/lebih kuat.

Kekhilafan antara mazhab dan para fuqaha’ adalah keluasan dan rahmat kepada ummah, khususnya di medan siasah. Kekhilafan tersebut bukan beerti kita berhak memilih apa yang berkenan dan terpesona di hati tanpa timbangan syar’ie. Ini salah dan mengikut hawa nafsu semata–mata. Perbendaharaan yang besar ini sebenarnya membuka peluang kepada kita untuk memilih, menilai dan mentarjihkan di antara pendapat fiqhiyyah demi menunaikan maqasid / matlamat syar’iyyah dan kepentingan manusia yang deminya syariat diturunkan.

Ulasan umum mengenai maksud siasah di sisi fuqaha’



Apa yang kami sebut di atas adalah merupakan pandangan para fuqaha’ di dalam takrif siasah dan maksudnya yang menunjukkan wujud perluasan dan penyempitan di dalam pandangan mereka.

Tetapi jika kita melihat siasah daripada sudut kandungannya iaitu perkara yang berkaitan menguruskan perihal rakyat, menunaikan amanah dan hak mereka, kita akan dapati para fuqaha telah membincangkannya dengan cukup panjang lebar. Sebahagiannya terdapat dalam kitab besar fiqh di dalam tajuk – tajuk yang khusus seperti bab amanah, qadha’ (hukuman), hudud, jihad dan sebagainya. Manakala sebahagiannya ditulis lebih khusus di dalam kitab – kitab yang langsung membicarakan perihal hukum, politik, pentadbiran, harta dan sebagainya. Antaranya:

1 ) Al Ahkam As Sulthaniyyah oleh Abul Hasan Al Mawardi Asy Syafi’e.

2 ) Tajuk sama oleh Abu Ya’la Al Farra’ Al Hambali.

3 ) Ghiyatsul Umam oleh Imamul Haramain Al Juwaini Asy Syafi’e

4 ) As Siasah Asy Syar’ieyyah oleh Ibnu Taimiyyah Al Hambali

5 ) At Turuq Al Hukmiyyah oleh Ibnul Qayyim

6 ) Lain – lain.

Ada juga kitab–kitab yang ditulis berkaitan pengurusan harta sahaja. Antaranya:

1 ) Al Kharaj oleh Abu Yusuf, sahabat besar Abu Hanifah. Ia dikarang khusus untuk Khalifah Harun Ar Rasyid di dalam pengurusan harta negaranya.

2 ) Tajuk sama oleh Yahya ibn Adam

3 ) Al Amwal oleh Abu Ubaid Al Qasim bin Salam. Ia merupakan kitab terbesar yang dikarang mengenai harta di dalam Islam.

4 ) Lain–lain.

Ada juga perihal siasah yang ditulis di dalam kitab–kitab aqidah dan ilmu kalam. Para ulama Sunnah terpaksa menulis perihal Imamah/kepimpinan dan syarat–syaratnya di dalam kitab aqidah memandangkan ulama Syiah menganggap imamah sebagai sebahagian soal aqidah.

Kerana itu para ulama Sunnah terpaksa membincangkannya demi membetulkan kefahaman yang bertentangan itu. Mereka tidak mensyaratkan imamah itu mesti daripada kalangan Ahlil Bait sekalipun kebanyakan mereka mensyaratkan mesti daripada keturunan Quraisy. Juga imam hendaklah dipilih daripada kalangan ummah dan mereka tidak sunyi daripada melakukan kesilapan.

Ada juga ulama yang membincangkan perihal politik di dalam kitab tasawwuf seperti Al Ghazali di dalam kitabnya yang masyhur, Ihya’ Ulumiddin.

Antara tulisannya dalam (kitabul ilmi) daripada kitab tersebut ialah mengenai kaitan antara alim faqih dengan ahli politik. Beliau menjadikan fiqh sebagai ilmu kehidupan/dunia dan mengatakan jikalah manusia menguruskan urusan dunia mereka dengan adil, maka pasti tiada lagi pertelagahan danmenganggurlah para fuqaha’. Tetapi mereka mengurusnya dengan nafsu syahwat, lalu berlakulah pertelagahan sesama mereka. Dari situ mereka memerlukah sultan/pemerintah yang dapat mentadbir urus mereka. Para pemerintah ini pula memerlukan undang–undang untuk menegakkan keadilan. Maka para fuqaha’ diperlukan.

Katanya,

” Orang faqih ialah orang yang alim dengan undang – undang politik dan jalan saksama di antara manusia apabila mereka bertelagah berdasar hukum nafsu mereka. Dia menjadi guru dan penasihat sultan di dalam mengurus dan menjaga rakyat agar urusan duniawi mereka menjadi betul apabila mereka istiqamah dengan undang – undang tersebut. Demi sesungguhnya politik berkait dengan agama juga tetapi bukan secara terus bahkan dengan perantaraan dunia. sesungguhnya dunia adalah ladang akhirat. Dan tiadalah sempurna ugama kecuali dengan dunia. Kerajaan dan ugama adalah saudara kembar. Agama itu asal manakala sultan / pemerintah adalah penjaganya. Sesuatu tanpa asal adalah kosong manakala sesuatu tanpa penjaga adalah sia – sia. Tidak sempurna kerajaan dan pengawasan tanpa raja yang memerintah. Dan jalan mengawasi di dalam memutuskan pertelagahan adalah dengan fiqh.”



Politik di sisi para hukama’ ( ahli falsafah )

Sebagaimana para ulama Islam – fuqaha’, usuliyyin, mutakallimin – memberi perhatian kepada perihal siasah, begitu juga para ahli falsafah Islam. Mereka seperti Abi Nasr Al Farabi (339H) yang digelar sebagai guru kedua (al Muallim ath thani) selepas Aristotle dalam dunia falsafah. Beliau telah menghasilkan beberapa buku yang masyhur, antaranya Risalah as Siasah danAl Fusul al Madaniyyah. Sesetengah pengkaji menggelar beliau sebagai ‘ bapa falsafah politik Islam ‘ kerana perbincangannya yang meluas dalam hal politik.

Selepas beliau, datang pula Abu Ali Ibnu Sina (428H), ahli falsafah agung yang terkesan dengan pemikiran Al Farabi. Cumanya beliau tidak memberi tumpuan khusus dalam isu politik sebagaimana juga perihalnya dalam tajuk–tajuk lain. Perbincangannya tentang politik banyak merata lewat bukunya yang masyhur, Asy Syifa’. Menurut beliau, politik ialah pentadbiran yang elok dan pembaikian kerosakan (husnu at tadbir wa islah al fasad). Beliau berpendapat para pemerintahlah yang lebih patut menekuninya walaupun politik tidak hanya berlegar di kalangan pemegang kekuasaan sahaja, bahkan meliputi semua orang walau apa kedudukannya dalam masyarakat.

Apa pun, ahli falsafah dalam kelompok ini lebih melihat daripada pandangan falsafah aqliyyah yang menerima kesan daripada falsafah Yunani. Kita tidak mendapati mereka memiliki thaqafah Islamiyyah yang mengikat mereka dengan usul dan sumber syariah Islamiyyah.

Itu melainkan seorang ahli falsafah Islam yang terbilang iaitu Abil Walid Ibn Rusd Al Hafid (595H). Beliau ketika mengupas persoalan politik, akan berpegang dan bertolak daripada sumber syariah yang menandakan keistimewaannya menghimpunkan antara syariah dan falsafah.

Politik di sisi ahli falsafah akhlak


Wujud segolongan ahli hikmat (falsafah) yang cukup hebat dalam pandangan falsafahnya tetapi bergabung dengan pandangan syariat Islam sekalipun turut terkesan dengan falsafah Yunani. Saya sebutkan dua antara mereka:

Pertama, ahli falsafah akhlak terkenal iaitu Maskawaih atau kadang–kadang digelar Ibnu Maskawaih yang melalui kitab falsafah akhlaknya,Tahzibul Akhlaq wa Tathirul A’raq, kami melihatnya bersumberkan agama Islam seperti katanya mengenai kerajaan:

(Dan orang yang menjalankan tugas sunnah ini dan tugas – tugas syara’ yang lain sehingga tidak hilang daripada kedudukan asalnya adalah al imam.Kerja imam adalah kerja seorang raja. Orang–orang terdahulu tidak menamakan seseorang itu sebagai raja melainkan orang yang menjaga ugama dan bersedia melaksanakan martabat, arahan dan larangannya. Adapun orang yang mengelak daripada menjaganya, dia hanya dinamakan penjarah (mutaghallib) yang tiada keahlian untuk diberi nama raja/pemerintah (al malik). Ini adalah kerana agama merupakan undang–undang ilahi yang mendorong manusia dengan pilihan sendiri ke arah kebahagiaan yang tinggi. Raja adalah penjaga undang–undang ilahi ini yang menjaga manusia.)


Kedua ialah al Imam al Hasan bin Muhammad bin Al Mufaddal yang dikenali sebagai Ar Raghib bin Al Ashfahani, pengarang kitab ‘ mufradaatul Quran ‘dan diiktiraf kelebihannya di dalam ulum Al Quran. Beliau lebih dekat kepada agama berbanding falsafah sekalipun terpengaruh juga dengan pemikiran falsafah asal. Beliau adalah ahli falsafah ugama.

Beliau telah menyentuh perihal politik di dalam bukunya yang unik, ‘Az zari’ah ila makarim asy syariah’ sebuah kitab mengenai falsafah akhlak. Katanya,

(Dan siasah terbahagi dua.

Pertama, siasah individu terhadap dirinya, tubuh badannya dan yang berkaitannya.

Kedua, siasahnya terhadap orang lain dan masyarakatnya. Orang yang tidak layak mentadbir (siasah) dirinya tidak layak juga mentadbir orang lain.

Kerana itu Allah mencela orang mencalonkan dirinya sendiri untuk mentadbir orang lain, lalu dia menyuruh kepada perkara makruf dan mencegah daripada perkara munkar, sedangkan dirinya sendiri tidak terdidik ke arah itu.

Maksud firman Allah

” Adakah kamu menyuruh manusia melakukan kebajikan sedangkan kamu melupakan diri kamu sendiri walhal kamu membaca Al Kitab? Apakah kamu tidak berakal?” Al Baqarah:44 )


Maka dikatakan (mauquf daripada Umar),

” Tuntutlah ilmu/tafaqquhlah sebelum kamu memimpin/dilantik untuk memimpin” sebagai peringatan bahawa kamu tidak layak memimpin sebelum kamu mengetahui ilmu hukum (fiqh) dan juga siasah umum. Juga kerana antara pentadbir dan yang ditadbir (rakyat) adalah umpama bayang dan empunya bayang. Adalah mustahil bayang lurus sedang empunya bayang adalah bengkok. Bagaimana rakyat memperoleh petunjuk sedang pemerintah sendiri sesat?

Maksud firman Allah

” Wahai orang yang beriman, janganlah sesekali kamu mengikuti jejak – jejak syaitan. Barang siapa yang mengikuti jejak – jejak syaitan maka sesungguhnya syaitan menyeru kepada kejahatan dan munkar.” ( An Nur:26 )


Dia menegaskan bahawa adalah mustahil, dalam keadaan mengikut syaitan, seseorang boleh menyeru kecuali kepada kejahatan dan munkar juga.


Politik di sisi ahli falsafah sosial, Ibni Khaldun



Sayugia di sini kami menengahkan pandangan seorang ahli falsafah sosial,bahkan hakikatnya, beliaulah pengasas ilmu sosial, sebagai mana dinyatakan di dalam buku muqaddimahnya, iaitu Abdul Rahman Ibnu Khaldun (808H). Kenyataannya itu adalah mengenai kesan ugama di kalangan orang Arab di dalam membina sebuah kerajaan dan meneguhkannya, sedangkan pandangannya terhadap orang arab agak buruk, juga pandangannya bahawa orang Arab dekat kepada sifat buas berbanding kemajuan dan hadharah.
"Pun begitu beliau tetap menegaskan bahawa orang Arab tidak memperolehi sebuah kerajaan kecuali atas sifat ugama, iaitu nubuwwah dan wilayah Allah ataupun secara keseluruhannya adalah kerana kesan ugama yang besar."


Katanya,

Sebabnya adalah kerana mereka dengan sebab sifat liar mereka itu menjadikan mereka satu umat yang cukup payah untuk saling tunduk sesama mereka dengan sebab kebengisan dan kebencian, jauh himmah dan saling merebut kuasa. Maka sukar sekali ditemui penyatuan hati mereka.

Apabila datang ugama dengan nubuwwah (kenabian) dan wilayah Allah, ia mencabut sifat buruk itu dari diri mereka. Hilanglah sifat takabbur dan berebut kuasa. Dengan itu menjadi mudahlah ketundukan dan penyatuan mereka. Semua itu disebabkan ajaran ugama yang menolak sifat bengis dan benci, dengki dan saling berebut…


Ibnu Khaldun juga menulis satu fasal khas yang menegaskan bahawa dakwah diniyyah telah menambahkan lagi kekuatan negara ke atas kekuatan asabiyyah yangs sedia ada. Katanya, (Sebabnya – sebagaimana telah disebut – adalah kerana acuan ugama tersebut telah menghilangkan sifat suka berebut dan saling berdengki yang wujud di kalangan ahli asabiyyah, lalu melorongkan tujuan kepada kebenaran. Apabila terjadi pencerahan itu pada diri mereka, maka tiada lagi penghalang kerana arah tuju adalah satu dan tuntutan adalah sama di antara mereka. Golongan kuffar masa itu pula yang turut merebut kerajaan – sekalipun mereka lebih ramai -, tujuan mereka terpecah – pecah dalm kebatilan. Mereka takut mati. Maka mereka tidak terlawan umat Islam sekalipun mereka lebih ramai. Mereka kalah dan dipercepatkan lagi kekalahan itu dengan sebab kemewahan hidup mereka sebagaimana kami telah sebutkan sebelum ini.

Ini sebagaimana terjadi dalam kemenangan – kemenangan (futuhaat) yang dicapai di awal Islam. Jumlah tentera Islam di dalam perang Al Qadisiyah dan Yarmuk adalah sekitar 30,000 lebih dalm setiap satunya. Manakala jumlah tentera Parsi di Al qadisiyyah adalah lebih 120,000 orang dan tentera Hercules di Yarmuk pula adalah 400,000 orang (menurut Al Waqidi). Umat Arab tidak kalah dengan jumlah besar itu bahkan mereka mengalahkan musuh dalam peperangan tersebut.)

Ibnu Khaldun memberi tumpuan kepada perihal siasah semasa – tidak sebagaimana Plato dan Al Farabi – dan beliau berusaha menyelongkar hukum semulajadi (sunnah alam) yang menghukum umat dan masyarakat seluruhnya. Beliau adalah bapa ‘ pemangunan politik’ ataupun disebut ilmu sosio politik. Beliau, dengan pengiktirafan orang barat sendiri adalah oarang pertama yang menulis mengenai ilmu ini.

Siasah di sisi cendekiawan barat

Kita akan sempurnakan perbincangan ini dengan turut membincangkan walaupun sedikit mengenai maksud politik di sisi cendekiawan barat yang sedang menguasai dunia kini, khususnya di era hegemoni Amerika yang juga semacam memaksakan ilmu dan tamadun mereka untuk dianuti oleh seluruh dunia.

Kita tidak boleh mengabaikannya sekalipun kita menolak politik penjajahan dan tamadun penjajahan mereka. Kita beriman dengan kepelbagaian bangsa, ilmu, bahasa, ugama dan politik.

Mahu atau tidak, kita terpaksa akur bahawa sebahagian besar pertubuhan, majlis dan muassasah ilmiah dan pemikiran kita masih terkesan dengan barat sebagai rujukan. Kita banyak mengambil daripada mereka dalam kajian kita tentang sosial, kemanusiaan terutamanya dalam kajian politik.

Kita tumpukan kepada pentakrifan politik di sisi mereka.

Sebenarnya takrif politik di sisi barat saling berbeza berdasarkan haluan dan sudut pandang masing–masing. Politik di sisi golongan liberal tak sama dengan lawannya. Politik di sisi kapitalis yang menjulang hak individu tak sama dengan golongan sosialis yang menumpu kepada hak–hak masyarakat. Begitulah perbezaan yang dilihat di kalangan golongan komunis, ekonomi bebas dan selainnya.

Juga perbezaan yang dapat dilihat di antara golongan ugama yang jumud yang menganggap usaha menolak penyakit dan wabak sebagai menolak takdir tuhan dan golongan perubatan yang menyeru kepada pembaikan kesihatan awam. Malah kumpulan yang masih berpegang dengan kemuliaan akhlak dan ugama yang menentang kebebasan mutlak dan menolak penularan gelaja seks bebas tentunya cukup berbeza pentakrifan mereka mengenai politik dengan golongan yang menghalalkan segala – galanya demi melampiaskan kehendak nafsu buas manusia sehingga menerima perkahwihan sejenis dan pergaulan bebas yang di tolak oleh seluruh ugama.



Kami sebutkan di sini beberapa contoh:

1- Hans Murghantao (?) berkata: Politik adalah perbalahan demi merebut kekuatan dan kuasa.

2- Harold Laswil (?) berkata: Politik adalah kekuasaan dan penguasaan yang menentukan; Siapa menguasai apa? Bila? Dan bagaimana?

3- William Robson (?) berkata: Sesungguhnya ilmu siasah berteras kepada pengajian terhadap kekuasaan ke atas masyarakat, pengajian asas – asasnya, amalan praktiknya, tujuan dan natijahnya.

Semua takrif di atas berkisar mengenai kuasa dan kekuatan.



Jan Bari Dankan (?) mengupas dengan panjang lebar persoalan ‘apakah politik?’ dalam bukunya ‘Ilmu Politik’. Katanya, Penggunaan kalimah politik terbahagi dua iaitu penggunaan secara nau’ieyah dan bukan nau’ieyah( tertentu dan bukan tertentu ). Bukan khas bermaksud penggunaan kalimah politik yang mudah ditukar dengan kalimah yang seerti dengannya. Contohnya:

1- Penggunaan kalimah politik dalam erti mengurus seperti politik (pengurusan) pengangkutan dan politik ( pengurusan) tenaga.

2- Penggunaan kalimah politik dalam erti strategi seperti politik (strategi) parti dan politik ( strategi ) kerajaan.

3- Penggunaan kalimah politik yang bermaksud penghinaan seperti berfikir secara yang kotor yang membawa kebencian. Ini biasanya dituju kepada seseorang untuk tujuan mencela perbuataannya seperti kata – kata ” Ini politiknya lah.”

Inilah yang saya faham daripada Al Imam Muhammad Abduh di mana beliau dikatakan pernah berkata ” Saya berlindung dengan Allah daripada politik.” Tetapi saya kurang cerap tentang kesahihan kata – kata ini daripadanya.

Dankan menyatakan bahawa penggunaan kalimah politik secaranau’ieyah pula hendaklah dibezakan antara politik dan perkara – perkara lain yang bercampur baur dengannya yang membawa erti yang berbeza seperti teknokrat, politik dan ekonomi dan politik dan akhlak.

Apapun, kalimah politik yang digunakan oleh barat adalah berkisar pada dua tujuan yang asas: Pertama, kekuatan dan penguasaan. Kedua, Kepentingan dan manfaat.

Pada pandangan Islam, tiada tegahan pada menuntut kekuatan tetapi hendaklah ia menjadi alat untuk mendukung kebenaran (al haq). Kekuatan bukan sebagai matlamat. Umat Islam selama – lamanya hendaklah bersama kekuatan kebenaran, bukan kebenaran kekuatan. Kekuatan apabila terpisah daripada kebenaran akan menjadi bahaya yang menggugat golongan yang lemah yang tiada upaya dan daya sebagaimana Allah Ta’ala menggambarkan kejahatan kaum ’Aad dalam surah Fussilat:15 yang bermaksud:

Adapun ‘Aad, mereka telah berlaku takabbur di muka bumi tanpa kebenaran. Mereka berkata, siapakah yang lebih kuat daripada kami? Tidakkah mereka lihat bahawa Allah yang menciptakan mereka itu lebih kuat daripada mereka? Dan mereka terus menentang ayat -ayat kami.


Nabi Hud mengeluarkan mereka daripada kebejatan kekuatan dan menyeru kepada iltizam dengan kebenaran. Apabila mereka ingkar, Allah menghantar azabNya yang pedih.

Adapun kepentingan (maslahat), ia diterima pakai oleh syari’at Islam. Bahkan Allah tidak mensyari’atkan sesuatau hukum kecuali demi kepentingan hambaNya di dunia dan akhirat. Setiap masalah yang keluar daripada maslahat dan menuju kerosakan maka ia bukan daripada syari’at.

Al Maslahatul Mursalah iaitu sesuatu kepentingan yang tiada nas yang menerima atau menolaknya juga termasuk dalam salah satu daripada dalil – dalil syara’ yang diterima pakai, sebagaimana diterangkan oleh Imam Malik dan mazhab – mazhab lain juga.

Tetapi maslahat yang mengikat politik di dalam Islam dan juga percakapan barat itu bukanlah bererti setiap apa yang memberi kelazatan kepada manusia atau bermaksud pengumpulan kepentingan secara peribadi tanpa menghiraukan kerugian orang lain dan melanggar susila dan santun.

Bahkan syara’ menjelaskan maslahat yang dimaksudkan dan mengikatnya dengan matlamat – matlamat syariat yang menjaga ugama, nyawa, akal, keturunan dan harta sebagaimana akan dijelaskan nanti dalam tajuk ‘nas dan maslahat’.

sumber: http://hakimpenyu.blogspot.com/2011/03/agama-dan-politik-kompilasi-siri-2.html

Tiada ulasan: